Tuesday, June 8, 2010

Kemaafan Dendam yg terindah

Sedangkan Nabi ampunkan umat..Kata-kata itu selalu aku dengar. Tapi aku manusia biasa. Walaupun terkadang aku boleh melupakan namun bila datang bisikan jahat di telinga terlalu sukar untuk aku memaafkan seorang lelaki ini. Percayalah walau sekuat mana aku cuba melupakan tetapi tiap kali itu juga segalanya terbayang di benak ini.

Ini bukan love story atau kisah jiwa luka ye.

Tanggal 2003 kalau tak silap aku malam Selasa

Waktu 12 malam lebih kurang

Lokasi: rumah sewaku di Kampung Baru

Aku dikejutkan dari tidur apabila telefon bimbitku berdering. Dengan separuh mamai aku mengagau gajet elektronik di atas kepala. Rupanya emak yang menelefon tetapi suaranya lain tidak seperti biasa.

Kenapa mak?

Kak Syidah meninggal.Itu kalimat akhir yang aku dengar kerana selepas itu aku terkedu. Aku tidak lagi mendengar kata-kata emak.Dan aku tidak sedar aku meraung sekuat hati selepas itu. Barangkali seluruh warga Kampung Baru terdengar tangisanku di malam hening itu.

Emak takkanlah..bukankah baru minggu lepas aku berjumpa Kak Syidah? Aku lihat dia sihat bukan terlantar. Jangan-jangan emak cuba membuat jenaka

Betul, jenazahnya dalam perjalanan ke rumah, balas emak dengan nada sendu.

Tuhan!!! Apa lagi aku mampu katakan tika saat begini. Air mataku jatuh bagai manik bertaburan dari rangkainya. Emak katakanlah ini hanya mimpi mak..aku tak percaya…

Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah, lebih kurang enam jam, aku hanya mampu menangis. Menangis dan menangis. Tiada kata-kata yang keluar dari lima tubuh yang berada dalam CRV milik abangku.

Aku tiba di kampung pukul 7 pagi. Tuhan tabahkanlah hatiku, aku berbisik perlahan. Aku bimbang akan kenyataan yang bakal aku tempuhi nanti. Adakah tubuhku akan tumbang atau aku akan meraung penasaran? Syahdu aku menatap wajah Kak Syidah. Serasa tidak percaya..minggu lepas aku pulang ke kampung aku sempat berbual dengan arwah.

Hatiku bertambah rawan apabila menatap anak-anak kakakku yang seramai enam orang. Yang kecil baru menginjak dua tahun. Wahai…anak saudaraku itu masih belum bisa memahami bahawa umminya telah tiada. Namun anak kecil itu bagaikan mengerti kerana dia langsung tidak mahu mendekati jenazah umminya.

Hingga saat jenazah diusung pergi aku masih tidak mampu percaya bahawa kakak kesayanganku telah tiada. Dan aku tidak berkesempatan berbicara buat kali terakhir dengannya. Aku tidak sempat memohon maaf atas kesilapanku selama arwah ada, tidak sempat menciumnya tanda kasih sayangku tapi aku hanya dapat mengucupnya bila hayatnya tiada. Duhai ke mana harus kubawa hatiku yang lara ini….

Paling aku sesalkan kerana lelaki itu bukan tidak tahu kakakku menghidap tiroid. Malah arwah meninggal di rumahnya seorang diri. Hanya anak sulungnya yang berumur 13 tahun ada di sisi. Di mana seorang lelaki bergelar suami ketika sang isteri sedang bergelut menghadapi sakaratulmaut? Bila melihat dia menangis aku menjadi jelak..cukuplah sudah lakonanmu wahai lelaki!

Biarlah.. aku tidak layak mengadili. Aku juga tidak mahu terburu menjatuh hukum. Aku tidak menuduh dia sebagai penyebab kematian arwah. Memang sudah takdir dan ketentuan Ilahi. Menjelang usianya 39 tahun kakakku Rasyidah Yaacob pergi menghadap azali. Al- fatihah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Amin.

Biarlah aku dianggap sekeras kerikil. Namun kemaafan bukankah dendam yang terindah?


Kasihku kini dikau pergi

Kau tinggalkan diriku sendiri

Ke mana harus kucari ganti

Senyuman yang semanismu

Kini kau tiada lagi di sisiku

Kukehilangan tempat bermanja

Kau pergi tanpa kerelaanku

Hatiku luka hampa dan kecewa

Hanya kenangan terukir di dada

Bersemadi dalam sanubariku

Jiwa membara memendam rasa

Tersemai seribu pengertian hidupku

Gambar terakhir arwah (Aidilfiri 2003)

Gambar terakhir arwah (Aidilfiri 2003)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails