Wednesday, October 6, 2010

Sepasang kasut raya

"Ayah, bila nak beli kasut raya Amar?"
"Nantilah Amar, ayah tak ada duit sekarang ni, nanti lepas raya ayah belilah."
Si ibu hanya mendengar kata-kata suami dan anak sulungnya dengan perasaan yang terharu. Lebaran kian dekat tapi satu persiapan pun belum dibuat. Pening kepala si ayah memikirkannya. Jangankan kasut raya, baju anak-anak pun belum dibeli. Apa lagi baju isteri dan bajunya sendiri. Sudah lama dia tidak bertukar baju raya. Tak mengapa, tapi rengekan si anak menyulam duka di dada. Apalah yang bisa dimengerti oleh anak- anak akan kesusahan dirinya. Pendapatannya sebagai pemandu teksi hanya cukup untuk perbelanjaan sehari-hari. Adat menumpang di rumah mertua, harus menghulur sepuluh dua. Permit teksi harus dilangsai setiap bulan. Bil air pun perlu dibayar. .Nak mengadu pada siapa? Saudara mara sudah lama membuang dirinya.
Pun lebaran datang jua. Ipar duai memenuhi rumah mertua. Setiap keluarga bergaya dengan warna tema masing-masing. Namun si ayah sekeluarga hanya menyarung baju lama, tak sedondon pun. Ahh, apalah sangat nak sedondon, asalkan berbaju sudah.
Tahun ni si ayah ditugaskan memasak nasi beriani. Maklumlah, bukan senang semua berkumpul begini. Si suami menurut dengan senang hati. Rayakan setahun sekali. Cuma perasaannya tidak berapa enak tapi dia tidak tahu mengapa? Digagahkan memasak nasi beriani idaman semua.
Hmm..penat rasanya, lepas ni nak tidur lama-lama katanya pada ipar.
Cuti berakhir sudah. Semua ipar duai berangkat pulang ke kota. Selang sehari semua dikejutkan dengan berita.
"Jamal masuk ICU", isteri menangis tersedu2. Ipar duai mula gelisah. Apa kenanya? Keracunan makanankah? Ternyata takdir Ilahi tiada yang dapat menduga. Keesokannya si ayah pergi jua. Tanpa pesan tanpa suara. Teringat janjinya pada si anak. Ayah tak ada duit, nanti dapat duit raya kita belilah kasut yang Amar nak tu. Si ayah pergi tanpa sempat menunaikan janjinya.
Tinggallah derita, tinggallah semua. Buat anak isteriku pandai2lah kalian membawa diri. Semasa hidupku aku tidak dapat memberikan kesenangan pada kalian, harap pemergianku tidak menyusahkan kalian juga.
Berlinangan air mata si isteri melihat wang di tangannya. Semasa hayat si suami, sering keputusan wang kini setelah ketiadaannya mencurah-curah wang sedekah...
Lepas ni nak tidur lama-lama.....
Alfatihah buat arwah Jamaluddin Abdul Kadir..semoga rohnya dalam lindungan Allah selalu....

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails